unaina
PANDUAN PENGGUNAAN KOMPUTER DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM

Menyentuh tentang peranan guru sebagai pendidik dan pembentuk peribadi pelajar yang merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual, maka guru perlulah bertindak sebagai pemudah cara dalam penyampaian dan pemindahan ilmu. Apatah lagi bagi memupuk dan mengekalkan minat pelajar secara berterusan dalam proses P&P berkenaan. Oleh demikian, PPBK dilihat sebagai media atau pengantara dalam pendidikan yang mampu meransang dan menambah keberkesanan sesebuah proses P&P.

Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) didefinisikan sebagai penggunaan komputer untuk mengajar dalam bentuk tutorial, latih tubi, simulasi dan juga penilaian pengetahuan pelajar seperti kuiz dan sebagainya. Ia juga membawa maksud pengajaran yang dibantu komputer. Ini tidak bermakna bahawa komputer yang mengajar pelajar, sebaliknya guru menggunakan komputer semaksimum mungkin sebagai alat penyampaian pengajarannya. Oleh itu, PPBK hanyalah sebagai satu teknik untuk menggabungkan kelebihan guru dengan penggunaan komputer sebagai suatu medium atau alat bantu mengajar. (Nurul Najwa Ramli, 2004)

Namun, apa yang penting, guru-guru yang mengunakan komputer dalam sesi P&P perlulah mempunyai kemahiran-kemahiran. Keupayaan dan kemahiran penggunaan komputer iaitu kebolehan memahami dan mengetahui perkara-perkara yang bersangkutan dengan komputer sama ada dari segi perkakasan asas, alatan sokongan, cara penggunaan, teori pengajaran serta cara mengaplikasikannya dalam P&P. Keupayaan mereka dalam penggunaan komputer dalam aktiviti-aktiviti menaip rumi dan jawi, menyimpan, menganalisis, menyediakan bahan bantu mengajar, membina perisian, mengakses maklumat dari internet, menggunakan audio dan video sama ada dalam bentuk CD ROM atau rakaman dan mencetak semua bahan yang berkaitan dgan bidang penddikan jg dikaitkan dgan kemampuan ini. (Mohd Hang Tuah Ismail, 2005).

Menurut Lee Ong Kim (1999) pula, dalam Mohd Hang Tuah Ismail, 2005 kemahiran-kemahiran asas tersebut ialah pertama; kemahiran dalam menggunakan hamparan kerja untuk data dan analisis yang mudah menghidupkan komputer dan memulakan operasi perisian yang hendak digunakan. Kedua; kemahiran berinteraksi dengan papan kekunci dan memegang serta menggerakkan tetikus. Ketiga; Beralih dari satu bahagian ke satu bahagian lain dalam perisian itu. Keempat; menggunakan pelbagai perintah dalam windows. Kelima; mengakses kepada internet. Enam; Menggunakan enjin carian untuk mencari bahan yang diperlukan. Tujuh; mencetak bahan untuk mendapat salinan bercetak. Lapan; menghantar dan menerima surat elektronik (e-mail). Sembilan; menyimpan dokumen pemprosesan perkataan dalam bentuk fail. Sepuluh; mencipta direktori dan sub-direktori. Sebelas; mendapat balik fail-fail yang telah disimpan. Dua belas; membuat salinan keseluruhan atau sebahagian dokumen. Akhirnya yang ketiga belas; menggunakan satu pengkalan data yang mudah

Dalam sesi pembelajaran pula, terdapat beberapa jenis pembelajaran yang berbantukan komputer iaitu latih tubi, tutorial, simulasi, permainan dan penyelesaian masalah. Perisian latih tubi merupakan program yang membantu pelajar mencari penyelesaian kepada masalah-masalah atau menjawab soalan-soalan dan menyediakan jawapan yang betul. Dengan menggunakan perisian ini seperti buku kerja elektronik, membolehkan pelajar mengukuh dan mengulang kaji pelajaran. Ini ekoran komputer dapat memberi maklum balas yang sesuai kepada jawapan pelajar dan komputer juga dapat menilai pencapaian pelajar. (Abd. Ghafar Md Din, 2003)

Perisian tutorial pula bertindak sebagai tutor, iaitu menyediakan segala maklumat dan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang perlu diketahui dan dikuasai oleh para pelajar. Perisian tutorial ini mengajar penggunanya dan kemudian menyoal semula apa yang telah disampaikan. Komputer dapat menganalisis tahap pencapaian pelajar. Pelajar yang mencapai tahap yang memuaskan akan diberi pilihan untuk meneruskan pembelajaran dengan bahan yang lebih sukar. Pelajar yang rendah tahap pencapaiannya akan diminta mengulangi pelajaran sehingga pelajar tersebut mencapai tahap yang diperlukan. (Abd. Ghafar Md Din, 2003)

Berbeza pula dengan perisian simulasi yang menyerupai fenomena sebenar atau imaginasi untuk memperlihatkan bagaimana fenomena sebenar atau imaginasi itu berfungsi atau bertindak. Komputer akan memaparkan fenomena itu dalam bentuk visual beserta penjelasan. Pelajar boleh berinteraksi dengan komputer, seperti membuat analisis, memberi keputusan atau bertindak untuk mendapat suatu fenomena baru. Perisian simulasi merangkumi teks, grafik, animasi dan bunyi. (Abd. Ghafar Md Din, 2003). Sebagai contoh perisian multimedia Al-Quran. Perisian ini mempamerkan teks al-Quran dalam resam Uthmani yang lengkap dengan tanda barisnya, di samping audio bacaan dari qari-qari terkenal.( Hj. Abd Ghani & Norhashimi Saad, 1997 )

Pembelajaran berbantukan komputer juga terdapat dalam bentuk perisian permainan. Ia direka bagi meningkatkan motivasi pelajar dengan mengadakan aktiviti-aktiviti permainan yang boleh dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran. Program ini biasanya berbentuk aktiviti latih tubi atau simulasi. Perisian permainan ini merangkumi penggunaan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari untuk mengatasi sesuatu situasi dalam bentuk permainan.

Manakala perisian penyelesaian masalah pula ialah satu perisian yang mengajar secara langsung melalui huraian atau latihan langkah-langkah dalam mengatasi masalah. Program ini juga membantu pelajar memperoleh kemahiran-kemahiran mengatasi masalah dengan memberi pelajar peluang untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pada peringkat awal pelajar perlu mengenal pasti masalah dan apa yang perlu dilakukan. Pelajar kemudian perlu merancang strategi yang sesuai dan mendapatkan maklumat tentang strategi yang boleh diambil. Langkah terakhir ialah pelajar perlu mencuba salah satu strategi sehingga berjaya menyelesaikan masalah tersebut. ( Hj. Abd Ghani & Norhashimi Saad, 1997 ) Rumusannya, pembelajaran berbantukan komputer dalam Pendidikan Islam wajar diaplikasikan secara meluas agar mutu P&P Pendidikan Islam dapat dipertingkatkan lagi.